Sabtu, 9 Oktober 2010

QNA : Cash or Loan?

Ini merupakan soalan yang paling lama aku peram kat dalam inbox aku sampaikan bila aku baca kejap tadi dah naik berlumut jadiknya. Soalan dari brader anonymous ni berbunyi :

"Patutkah saya beli rumah secara tunai atau pinjaman?" 
Soalannya pendek tapi jawapannya jenuh jugak la untuk aku pikirkan. Anyway, as usual.. kalau nak menjawab soalan ni, si penyoal kena pastikan yang dia tahu apa matlamat pelaburan dia. Kalau macam aku, matlamat aku tak lain tak bukan adalah untuk mendapatkan pendapatan pasif dari lebihan sewa rumah dan bila aku maksudkan lebihan, ini bermakna aku kena pastikan yang sewa rumah tersebut mampu untuk menanggung instalment bank, duit maintenance, insurans kebakaran, cukai pintu & cukai taksiran. Hasil setelah ditolak semua kos-kos tersebut hendaklah positif, barulah aku boleh mencapai matlamat aku tu.

Itu bab matlamat pelaburan aku dan bagi menjawab persoalan di atas berdasarkan matlamat aku, aku terpaksa membahagikan usia aku terlebih dahulu. Sekiranya usia aku belum mencecah 40 tahun, semua rumah yang telah dan bakal aku beli hendaklah melalui pinjaman bank kerana aku boleh memaksimumkan tempoh pinjaman menjadi sekurang-kurangnya 30 tahun. Kenapa 30 tahun? Ini kerana tempoh tersebut akan menyebabkan instalment bulanan aku menjadi rendah dan hasilnya.. Sewa - Instalment & Kos-kos berkaitan = POSITIVE Cashflow.  Itu cerita sebelum usia aku mencecah 40, sebaliknya semakin bertambah usia aku, semakin banyak cash yang terpaksa aku gunakan supaya matlamat 'positive cashflow' aku tu akan terus tercapai sehinggalah satu peringkat bila mana aku terpaksa membeli secara tunai memandangkan bank dah tak boleh memaksimumkan tempoh pinjaman aku dan korang kena ingat, lagi singkat tempoh pinjaman.. maknanya lagi tinggi instalment yang aku kena bayar. Untuk itu, nasihat bagi korang yang mempunyai matlamat seperti aku, cubalah buat loan ketika muda dan belilah secara tunai bila usia emas menjejaki korang. 

Buat si penyoal, harap-harap aku dah menjawab persoalan anda.

Jumaat, 8 Oktober 2010

OM : Which One First?

"Bro, ko rasa elok aku nego price dulu ke atau tengok rumah dulu" soalan pertama Brader OM kat aku dan aku jawab dengan "Kalo ko beli kereta, ko nego price dulu ke atau gi usha/test drive kereta tu dulu?"."Kalau aku, aku gi test drive dulu. Oooo.. aku paham, maknanya kalau rumah pun sama la ye? Pegi tengok dulu baru nego price?" kesimpulan yang dibuat oleh Brader OM. "Untuk beginner macam ko ni, jawapannya yes tapi kalau yang dah banyak pengalaman macam otai-otai hartanah seperti brader pie, tuanbri ataupun akak rohaniahnoor, aku rasa jawapan diorang.. mungkin" terang aku. "Tapi kalau ko bro, ko buat camne pulak?"  ada lagi rupanya soalan lanjutan dari Brader OM ni. "Ko orderkan dulu teh tarik untuk aku. Kering pulak tekak aku ni, nanti susah pulak aku nak explain kat ko nanti.. hahaha" ayat pemanis aku nak suruh orang belanja. "Hampeh ko.." - Brader OM.

Kalau korang nak tahu, aku akan buat camni bagi menjawab soalan Brader OM tu :-

Step 1 - Nego dulu price sebelum tengok rumah. Mana la tau kot-kot boleh dapat harga promosi yang diskaunnya mungkin dalam 10% atau lebih reductionnya.
Step 2 - Pergi tengok rumah dan cuba cari benda-benda yang korang rasa boleh melayakkan korang dapat further discount, seperti contoh toilet bowl pecah, tiles dapur sompek, paip jamban berkarat dan 1001 alasan lain tapi kalau semua peralatan dalam rumah tu 'in order ' mungkin korang boleh try alasan yang member aku guna dulu : 

"Awak kata hari tu existing tenant yang nak continue duduk kat situ cun macam Angelina Jolie tapi bila saya tengok tadi, takde la lawa sangat. Takat-takat level Diana Danielle je. Macam ni awak kena bagi saya diskaun lagi RM2K le sebab awak dah kencing saya, cakap tak serupa bikin". 

Amacam, korang rasa boleh pakai tak alasan member aku ni? Cuma yang aku musykilkan tu, sejak bila pulak Diana Danielle tu tak lawa?

Khamis, 7 Oktober 2010

Orang Minyak

Wahhh.. tak sampai sehari aku bagitau yang Daniel Hakim mengundur diri dari pengembaraan bersama aku, tiba-tiba ada pulak seorang member aku yang menyatakan hasratnya untuk take over flat kat Shah Alam tu.  Walaubagaimanapun keputusannya masih bergantung kepada 'Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri' merangkap 'Menteri Kewangan'nya (sape lagi kalau bukan memnya). Selain daripada tu, mamat ni jugak minta aku untuk membantu beliau dalam selok-belok pelaburan rumah ni dan aku macam biasalah, setuju tapi dengan syarat dia kena bagi aku kebebasan untuk merakamkan kisah pengembaraannya sebagaimana si Daniel tu telah lalui sebab kisah seperti inilah yang korang suka nak baca kan? Takde la asyik cerita teori je. Namun, brader sorang ni agak pemalu sikit dan  meminta aku merahsiakan namanya. Nak tak nak terpaksalah aku rahsiakan. Namun, untuk tidak menghampakan korang, aku dah create satu gelaran yang memang sinonim dengan kerjayanya di syarikat petroleum kebanggaan Amerika, maka aku menggelarnya Orang Minyak atau singkatan mesranya.. 'Brader OM'. Amacam, sempoi tak?

Memandangkan persetujuan memnya belum lagi dicapai, maka aku tak boleh lagi nak bercerita lebih lanjut tentang Brader OM ni sebab aku tak tau samaada dia dapat menjadi protege aku yang berikutnya atau pun tidak. Namun, bunga-bunga persetujuan seakan-akan  hampir tercapai (kalau ikut katanya la). Untuk itu marilah kita sama-sama mendoakan supaya hati memnya menjadi lembut selembut muka aku yang ensem ni.. hahaha.

P/S : Kalaulah aku ni real estate agent, dah lama aku dapat komisyen sebab tolong jualkan rumah ni, betul tak?

Rabu, 6 Oktober 2010

Sesi Ngeteh

Jam baru menunjukkan pukul 12:09 tengah malam dan saat ini aku baru sahaja balik dari mengeteh dengan brader mfirdaushassan yang baru sampai dari Kuantan siang tadi. Dengan ditemani oleh Brader Mil dan Man Kuala, banyak juga perkara-perkara yang dibualkan dari pengalaman pelaburan hartanah masing-masing sehinggalah ke awek yang duduk di meja sebelah.. hahaha. Apa pun banyak jugak tips dan masaalah yang dapat aku kongsikan bersamanya, tambahan pula kini beliau dalam proses membeli hartanah pertamanya di Lembah Kelang. Kiranya berani jugakla brader ni mengambil risiko walaupun jarak rumah yang dibelinya melepasi sempadan negeri kelahirannya (Pahang). Bertimbal balik dari sesi ngeteh lewat malam ni, aku semakin teruja untuk bertemu rakan-rakan pembaca blog aku yang lain dan untuk itu, berikut adalah tarikh baru sesi ngeteh kita bagi menggantikan tarikh yang telah aku kenselkan  minggu lepas. Harap-harap ramailah yang aku boleh jumpa nanti.

Tarikh : 8/10/10 (Jumaat)
Masa. : 5:38 - 7:08 petang
Tempat : NZ Garden, Jalan Ampang (mamak sebelah Wisma Selangor Dredging)

P/S : Jangan lupa e-mailkan handphone number korang ke abangensem98@gmail.com supaya senang untuk aku hubungi nanti.

Selasa, 5 Oktober 2010

Daniel Hakim : Sad Ending..

Terpempan aku bilamana pagi sabtu yang lalu aku menerima BBM dari budak Daniel ni yang berbunyi "Bang, Isnin depan kalo free boleh jumpa tak? Ada benda nak discuss. Lepas keje ke" dan setelah aku bertanya lebih lanjut, apa yang ku jangka akhirnya benar-benar berlaku. No more cerita pengembaraan Daniel Hakim after this sebab katanya dia terpaksa let go rumah tu sebab duit yang sepatutnya digunakan untuk membeli rumah tu, terpaksa disimpan untuk kegunaan lain. Katanya dia dah cuba mintak seller kurangkan lagi harganya dari RM60K ke RM55K semata-mata untuk dia membeli rumah tu tanpa keluarkan duit (seperti yang aku ajar dia hari tu) tetapi usahanya sia-sia kerana si penjual masih bertegas dengan harga sekarang dan mengikut pengiraan yang aku buat, berikut adalah jumlah yang perlu dikeluarkan oleh mamat engineer ni yang dikatakan out of his budget :

Downpayment : RM1.5K (selepas harga rumah di'mark up' ke RM65K)
Legal Fees     : RM2.2K (hanya untuk lawyer S&P kerana bank akan absorb kos untuk lawyer bank)
Valuation Fee : RM500

Total estimation yang perlu beliau keluarkan adalah sebanyak kurang lebih RM4.2K dan amaun ini bagi aku sememangnya agak besar terutamanya bagi mereka yang baru setahun dua bekerja dan seperti katanya, sekiranya harga tersebut dapat diturunkan menjadi RM55K, sudah tentu keseluruhan jumlah tersebut akan dapat ditampung. Walau apa pun, sekurang-kurangnya engineer muda ni dah pun melalui satu pengalaman yang belum tentu dapat diperolehi dari mana-mana buku dan bagi korang yang ada bajet untuk take over rumah ni, apa tunggu lagi, cuba-cuba le contact tuan punya rumah ni (no dia korang boleh mintak kat engineer muda ni). Sekurang-kurangnya akan ada sambungan bagi satu lagi pengembaraan lain yang pembaca blog ni boleh ikuti.. hehe.

Isnin, 4 Oktober 2010

Daniel Hakim : Dokumen S&P

Sambungan dari entri minggu lepas :

"Daniel, ko kena dapatkan dokumen-dokumen ni untuk diberikan kat lawyer S&P ko supaya dia boleh prepare S&P ko tu secepat mungkin : 
  1. I/C ko dengan seller tu 
  2. Seller punya Sale & Purchase Agreement (S&P)/Grant/Proclamation of Sale (PoS) 
  3. Seller punya Loan Agreement (LA)/Deed of Assignment(DoA)/Letter Offer (LO)/R&R (aku lupa apa nama penuh dokumen ni, mungkin 'Receipt & Reassignment' kot, harap-harap kalau ada lawyer yang baca blog aku ni tolong betulkan ye)
  4. Quit Rent dan Resit Cukai Taksiran yang terkini  
"Banyaknya bang. Kenapa nak kena ada semua dokumen ni?" soal si engineer muda ni. Korang nak tau ke kenapa? Kalau nak tahu, teruskan membaca perenggan kat bawah ni :
  1. I/C penjual dan pembeli ni kena ada supaya lawyer tahu siapa pembeli dan penjual sebenar bagi rumah tu. Takut le pulak kalau orang lain yang beli dan orang lain pulak yang punya I/C. Karang tak pasal-pasal dia pulak yang kena saman.
  2. S&P/Grant/PoS ni penting sebab kat dalam tu ada cerita tentang susur galur rumah tu, bermula dari tahun bila rumah tu dibina, sape pemilik-pemilik rumah tu sampai la ke pemilik terkini.
  3. LA/DoA/LO ni pulak berguna supaya lawyer boleh dapat tahu samaada rumah ni masih ada loan lagi ke atau tak. Kalau ada, dengan bank dan cawangan mana? Tentang R&R ni pulak, dokumen ni akan bagitau yang rumah ni dah takde loan (free from financing) tapi kalau kat grant dah ada mention yang rumah ni dah takde loan, korang abaikan je la dokumen R&R ni.
  4. Quit Rent/Cukai Taksiran ni pula untuk memastikan takde apa-apa tunggakan dengan pihak berkaitan. Buatnya lepas korang beli, tiba-tiba ada pulak perintah nak sita rumah dari pihak berkuasa tempatan, tak ke naya nanti, betul tak?
Kalau ada apa-apa yang aku tertinggal, korang tolong tambahkan kat ruangan komen di bawah. Thank you.

Dalam entri berikutnya akan ada kejutan yang korang takkan jangka dan ianya bukan sahaja mengejutkan aku tetapi bakal mengecewakan korang jugak. Kalau nak tahu, macam biasa la.. terpaksa tunggu next entry.. *hampeh punye abang ensem.. hahaha*

Ahad, 3 Oktober 2010

QNA : Firdaus Hassan

Soalan : 

Dalam banyak-banyak buku yang aku baca mencadangkan supaya tempoh maksimum untuk buat loan ialah 20 tahun tapi kalau ikut saudara AE, elok dilanjutkan semaksimum mungkin. Apa komen saudara?

Jawapan : 

Sebenarnya bagi soalan sebegini, ianya lebih bergantung mengikut matlamat pelaburan masing-masing tetapi kalau korang tanya aku, aku lebih prefer untuk singkatkan tempoh pinjaman bagi rumah yang aku duduk/tinggal (mungkin 10, 15 atau 20 tahun) tapi kalau rumah tu lebih bermatlamatkan untuk menjana keuntungan aku, aku lebih suka santakkan tempoh pinjamannya semaksimum mungkin (30, 35 atau 40 tahun). Kenapa?

Kalau rumah sendiri, selepas aku pencen/malas nak kerja nanti, sekurang-kurangnya aku dah tak payah nak risau nak stay kat mana sebab rumah aku dah takde hutang dan kalau ada pun, duit EPF yang bakal aku dapat nanti, cukup untuk langsaikan hutang bankn yang sedia ada (almaklumlah rumah aku pun takde la mahal sangat sebab aku beli pun 20% below market value time tu). Kalau aku 'padam' pulak nanti, sekurang-kurangnya duit MRTA aku cukup untuk settlekan hutang yang tinggal, insyaallah.

- TETAPI -

Kalau rumah sewa dan bermatlamatkan passive income macam yang aku dok buat, apa gunanya aku singkatkan tempohnya sebab dalam tempoh 5, 10 atau 15 tahun, ada kemungkinan untuk aku refinance balik supaya aku boleh amik cash untuk digunakan bagi membeli rumah lain (samaada secara tunai atau pun melalui loan kalau masih layak) dan sewa rumah yang aku baru beli ni akan menambahkan lagi pendapatan pasif aku yang sedia ada. Ada yang kata 'tak elok berhutang banyak-banyak, nanti kalau mati teruk kena seksa'. Alamak beb, takut gak aku bila korang cakap macam tu dan atas sebab ini jugaklah pentingnya korang kena amik MRTA supaya hutang-hutang korang tu dapat diselesaikan tanpa menyusahkan anak bini atau pun aku yang kat 'dalam' tu. Walaubagaimanapun,  sekiranya duit MRTA tu tidak mencukupi, baki hutang yang masih tinggal tu nanti akan tetap terbayar melalui sewa yang akan terus dikutip oleh anak bini aku nanti (dengan syarat mereka perlu diberitahu terlebih dahulu). Wallahualam.

Sabtu, 2 Oktober 2010

My 2nd Contest Result

Seperti yang dijanjikan, keputusan contest yang aku anjurkan baru-baru ini adalah seperti berikut :

Pemenang pertama (RM100 + eBook terbaru aku) : Saudara mfirdaushassan

Pemenang kedua (RM50 + eBook terbaru aku) : Saudara ariff shah

2 X pemenang saguhati (RM25 + eBook terbaru aku) : Saudara matjoe & parang

Tahniah kepada kalian, sila e-mailkan no akaun bank korang ke e-mail abangensem98@gmail.com supaya senang aku kreditkan hadiah korang. Anyway, thank you for your participation. 

Jumaat, 1 Oktober 2010

Daniel Hakim : Lawyer

"Bang, market value saya dah check, price rumah pun saya dah dapatkan diskaun, lepas ni nak buat apa pulak?" soal Daniel. "La ni ko pergi cari lawyer untuk buat S&P. Kalau ko ada kengkawan yang jadik lawyer lagi la elok" balas aku. "Kenapa pulak elok bang?" tambah mamat engineer tu lagi. "Ye la, kalau ko ada kengkawan lawyer, at least senang le sikit ko nak 'sesahkan' kawan ko tu untuk cepatkan proses. Selain tu boleh ko mintak diskaun lebih sikit. Kalau aku yang carikan, jawabnya banyak pulak nanti komisyen yang aku dapat. Kalau asyik dapat duit je, macamana duit aku yang sedia ada ni nak habis-habis" amacam ayat aku? Ada bunyi-bunyi berlagak tak..  hahaha.

Kalau korang baca ebook kedua aku tu, mesti korang tau kenapa aku prefer korang guna lawyer korang sendiri untuk sediakan S&P ni dan satu lagi, untuk pengetahuan korang pihak pembeli dan penjual boleh guna lawyer asing-asing tanpa perlu berkongsi lawyer. Maknanya, tak semestinya si pembeli kena guna lawyer si penjual dan begitu juga sebaliknya tetapi bagi aku, kalau korang dapat influence si penjual untuk gunakan lawyer S&P yang sama dengan korang tu, lagilah elok kerana selain dapat menjimatkan masa, urusan perhubungan komunikasi pun akan menjadi lebih mudah. Takde la nanti bila korang follow up dengan lawyer korang, lawyer korang akan kata "lawyer seller ni lembap betul la, tu pasal la tak siap-siap lagi documentation ko" (through my own experience.. hahaha).

So, "Apa dokumen yang saya nak kena bagi kat lawyer saya nanti?" persoalan terbaru si Daniel dan kalau nak tahu jawapannya... tunggulah entri berikutnya next Monday.

Khamis, 30 September 2010

Daniel Hakim : Negotiation Skill

"Bang, lepas ni saya nak kena buat apa pulak?" soal si Daniel. "Apalagi, ko pegi la nego price dengan seller tu. Mana la tau kot-kot ko boleh dapat harga rendah lagi" jawab aku. "Sebenarnya saya dah mintak kurang dah pun. Harga asalnya ada la dalam RM65K" jawab mamat ni. "Aik.. terer jugak ko ni ye. Aku belum ajar, ko dah memandai mintak kurang. Nasib baik seller tu bagi. Apa ayat yang ko gunakan?" soal aku lebih lanjut dan dengan hidung kembang kempisnya (bangga le tu kena puji), si Daniel tu bagitau "Saya kata la kat seller tu yang market value flat tu dalam RM55K to RM60K je. Agaknya pasal tu la dia bagi kurang RM5K". "Ok.. good job" puji aku. 

Itulah ayat-ayat manis mamat engineer tu kat seller flat yang dia beli tu dan bagi aku, ayat macam ni jugaklah yang biasanya aku gunakan untuk mintak diskaun. Harap-harap reader blog aku ni ada idea dan pengalaman yang lebih menarik untuk dikongsikan bersama yang lain tentang cara-cara korang negotiate untuk dapatkan harga terbaik. 

P/S : Anyway, salah satu ayat yang selalu aku gunakan untuk nego price  selain  ayat di atas ialah "I sanggup bayar cash kalau u sanggup jual flat tu at RM45K" tapi korang kena make sure la yang korang ada cash sebab bagi aku CASH IS KING bila korang masuk ke gelanggang negotiation. Am I right?

Rabu, 29 September 2010

Makluman Mengenai Pull Tea Session

Dukacita dimaklumkan sesi ngeteh kita petang ni terpaksa aku tunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian atas sebab-sebab yang tak dapat aku elakkan. Bagi mereka yang telah menconfirmkan kehadiran mereka sebelum ini, aku telah pun menghubungi mereka (harap-harap takde la yang tertinggal) bagi memaklumkan penundaan sesi ini (samaada melalui telefon genggam mahu pun kiriman e-mail) manakala bagi mereka yang ingin datang secara mengejut, di harap janganlah pula korang terkejut bila melihat hanya 'mamak ensem' je yang ada kat situ petang ni.. hehe. Apa pun, kat sini aku nak  menyusun 10 jari memohon berbanyak kemaafan kepada sesiapa yang dah booking tiket bas, kupon teksi mahupun yang telah tuang minyak kereta penuh-penuh semata-mata untuk menghadirkan diri korang petang ni. Insyaallah, kalau ada rezeki, korang akan dapat jugak menatap wajah ensem aku ni dalam jangka masa terdekat ni. Jangan risau..

peruzz : Aku harap ko ada baca le entri ni sebab aku tak tau camne nak contact ko

Daniel Hakim : Trick No. 2

Beb, biasanya kalau korang tanya kat banker tentang market value, apa ayat yang biasa korang guna pakai? Aku rasa mesti ayat standard aku masa mula-mula beli rumah dulu  iaitu "Berapa market value untuk flat yang saya nak beli ni ye?" dan jawapan yang terkeluar dari mulut pegawai bank tu mesti mengecewakan aku "Kejap ye saya call valuer. Ooo flat encik ni valuenya dalam RM60K je la" berbanding dengan ayat aku kini..

"FLAT YANG SAYA BELI NI VALUENYA BOLEH DAPAT TAK DALAM RM68K?" dan jawapan si pegawai bank biasanya berbunyi "VALUER KATA PALING TINGGI PUN TRANSACTIONNYA HANYALAH DALAM RM65K JE" dan korang mesti hairankan macamana flat yang sama mempunyai nilai yang berbeza dan setelah aku tunggang terbalik memikirkan rasionalnya, maka kesimpulan yang aku dapat adalah seperti berikut :

Bila pegawai bank tu tanya soalan mengikut bentuk soalan pertama yang kita tanya tu, maka si valuer akan bagi average value untuk harga rumah di kawasan tu tetapi bila bentuk soalan kedua diajukan, si valuer akan melihat kepada harga tertinggi yang boleh dijadikan benchmark di kawasan itu. 

Walaupun dalam hati korang akan kata "kencing la mamat ni" tapi hakikatnya, inilah yang aku selalu lakukan selama ini dan aku tak rasa semua ni satu kebetulan. Jadi terpulanglah pada korang untuk menilainya. Wallahualam. 

Selasa, 28 September 2010

Daniel Hakim : How's the Trick?

Are you following me? I guess yaa.. Good sebab tips yang aku nak bagi ni korang takkan jumpa kat mana-mana buku property lain dan tips ini pada mulanya aku tak berapa perasan tentang keberkesanannya sehinggalah aku jumpa awek banker aku yang cun tu.. hehe. Ok, kita re-cap balik apa masalah mamat engineer tu dalam entri yang lepas. Yes, aku berjaya mendapatkan value yang tinggi dari bank yang sama, yang si Daniel tanya pada sebelah paginya. How this thing could happen? Macamana aku buat sampaikan aku berjaya menaikkan market value untuk rumah yang sama? And the best part was.. from the same bank.

So, here's the trick. Ada 2 benda penting yang korang kena ingat bila nak dapatkan market value from the bank. The first one is 'Siapa yang korang tanya?'. Kalau korang perasan, si Daniel ni walk-in je ke branch kat bawah office dia dan berjumpa dengan pegawai yang in-charge untuk loan bagi mendapatkan market value. As for me, normally aku akan call atau tinggalkan pertanyaan di laman web bank yang aku dah aim tu dan minta one of their cutest mobile sales officer to contact me. Normally setiap bank ada mobile sales officer diorang yang akan dapatkan sales melalui call centre, website inquiry mahupun during any sales promotion (mesti korang biasa jumpa budak-budak sales ni kat mana-mana exhibition kan?). Aku tau korang mesti tertanya-tanya "apa rasionalnya semua ni dengan market value?".

Rasionalnya :

Kalau korang biasa buat sales, mesti korang tahu betapa susahnya nak close the deal kan? Bila takde sales, maknanya no extra income for them (sales people). Tak kira lah samaada income tu dalam bentuk sales commision ke, token from the lawyer ke atau 1001 jenis side income lagi yang diorang boleh generate. So, untuk memastikan diorang dapat semua benefits ni, nak tak nak they have to offer something yang orang lain tak boleh offer even by their counterpart sendiri and part of it is a higher market value, in order to enable korang untuk dapatkan maximum loan. Apa yang membezakan diorang ni dengan pegawai bank yang kat branch ni ialah, they (mobile sales officer) will look around untuk tengok which valuer yang boleh commensurate dengan kehendak customer diorang ni. Manakala, untuk mereka yang duduk kat branch.. mostly they will check with 1 or 2 valuers sebab they don't have much time to do that sebab kes yang diorang dapat dari walk-in customer pun dah banyak. Itu yang kengkadang tu ada kes yang terpaksa diorang tolak sebab dah banyak sangat dan biasanya yang jadi mangsa ialah kes-kes yang loan amountnya kecik. Buat apa diorang layan sangat loan yang RM50K sedangkan kerjanya sama je dengan loan yang RM500K. Betul tak? So, that's the 1st tips from me (for free). The other one akan menyusul dalam entri yang berikutnya.

P/S : Camne nak contact mobile sales officer ni? Senang je. Korang log-in ke website bank tu dan taip camni (seelok-eloknya dalam bahasa omputih le supaya nampak educated sikit) "I'm in the midst of buying a house and was attracted by your home loan package. Therefore, can you send someone (preferably a malay girl with a pretty and hot look), who can entertain to my inquiry pertaining the said package. TQ". 

One more question yang korang kena remindkan aku nanti "Kenapa sales officer yang melayu?"..

Isnin, 27 September 2010

Daniel Hakim : Current Market Value

Lokasi dah pun dipilih. La ni masa nak tengok berapa tinggi market value untuk flat kat Shah Alam tu. Bila ditanya pada engineer muda ni samaada dia dah check atau belum dengan pihak bank, jawapannya "Dah check dah bang. Pegawai kat sales counter tu kata valuenya dalam RM55K - RM60K. Dia kata kalau unit kat ground floor boleh la cecah RM70K". "Aik.. sikitnya, setahu saya kat area tu busuk-busuk pun boleh pergi sampai RM65K. Ko pergi ke branch dia ke, Daniel?" soal aku. "Ye la bang. Sebelum jumpa abang, saya dah gi jumpa pegawai kat bank yang bawah office saya tu. Satu lagi dia kata, kat bank dia kalau rumah yang kurang dari 600sqft tak boleh buat loan. Ada ke syarat camtu bang?" tanya si Daniel dengan muka 'nerd'nya. "Alamak.. mamat ni dah kena main la.. haha" fikir aku dalam hati. "Takpe, awak bagi alamat rumah tu nanti saya checkkan valuenya dengan bank yang sama" cadang aku kepada mamat muda ni. "Ok bang" sambil menghulurkan alamat flat kat Shah Alam tu.

Petang tu jugak aku dah dapat tahu value untuk flat tu. Korang nak tahu berapa valuenya? RM65K untuk standard unit. Ini bermakna engineer muda ni dah boleh save RM5K daripada downpayment yang sepatutnya dia kena bayar pada seller (jika dia mark-upkan S&Pnya dengan persetujuan seller). Banyak tu beb, instead of RM6K (10% downpayment) yang sepatutnya dia kena bayar kat seller, sekarang dia cuma kena bayar RM1.5K je. Tak ke untung namanya.

Mesti korang tertanya-tanya, macamana aku boleh dapat market value yang lebih tinggi dari si Daniel walaupun aku check dengan bank yang sama. Nak tahu caranya? Nantikan tips tersebut pada entri yang akan datang *suspen*..

Ahad, 26 September 2010

New Mortgage Package By BSN

Biar betul, BSN is now offering pakej pinjaman perumahan/refinancing yang agak menarik  iaitu interest rate serendah BLR - 2.2% (6.3% - 2.2% = 4.1%) untuk sepanjang tempoh pinjaman. Bukan setakat itu sahaja, percutian percuma selama 4 hari 3 malam ke luar negara atau 3 hari 2 malam untuk percutian dalam negara juga menjadi daya penarik promosinya. Ditambahkan lagi dengan contest untuk mendapatkan hadiah grand prizenya, sebuah Grand Livina 1.6A kaler oren (kalau ikut gambarnya la). Ada lagi, kos pemidahan 'sifar 'tapi aku tak tahu le samaada kos pemindahan tu bermaksud kos sewa lori/mover nak pindah rumah yang ditanggung sepenuhnya atau pun kos-kos berkaitan dengan pinjaman, yang diorang (BSN) ni tanggung.. hahaha. 

Lumayan tu beb tapi aku tak survey  la lagi samaada semua pakej ni hanya untuk certain loan limit atau pun loan serendah RM50K pun layak untuk menikmati pakej ini? Biasalah kalau ikut 'investment appetite' aku ni, aku lebih selesa dengan property yang kecil dan murah je. Jadi kalau rate kat atas tu cuma applicable untuk rumah-rumah mewah dan mahal, terpaksalah aku pendamkan hasrat nak refinance rumah-rumah aku ni tapi yang lebih menyedihkan aku, tak lain tak bukan bila memikirkan yang awek-awek BSN tu tak dapat la  nak berkenalan dan berskandal dengan abangensem yang sorang ni. Pity them.. huhuhu. 

Pull Tea Session

Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, satu sesi mengeteh (pull tea session) akan diadakan pada minggu hadapan dan melalui pemerhatian aku selama seminggu, akhirnya aku decide untuk mengadakannya pada hari Rabu (29/9/10) memandangkan kebiasaannya hari tersebut, takde la ramai sangat awek yang akan melepak kat port yang aku pilih ni.  Ye lah.. kalau dah ramai balak yang attend sesi tu nanti, dah tentu-tentu awek yang melepak takkan perasan kehenseman aku nanti, betul tak? So, berikut adalah detail tentang 'Pull Tea Session' itu nanti :

Tarikh    : 29/9/10

Masa      : 6.18 petang

Tempat : NZ Garden Jalan Ampang (terletak di antara Wisma Selangor Dredging & Menara Public Bank, berhadapan dengan Bangunan Angkasa Raya dan berbelakangkan Tanah Perkuburan Islam Ampang)

Dress Code : Blue Shirt (if possible) memandangkan aku ni bukannya kenal sangat korang ni. Jadi bila dah semua pakai baju biru, at least kalau korang senyum tahu le aku yang korang ni pembaca blog aku.

Tujuan/Motif Sesi Ngeteh :
  1. Untuk berkongsi ilmu sebab aku tau dikalangan korang-korang yang membaca blog aku, ada ramai yang lebih dahsyat ilmunya dari aku. Mungkin disebabkan diorang ni pemalu atau pun tak berapa mahir nak menyusun ayat, maka diorang lni ebih suka mendiamkan diri dan orang sebeginilah yang aku nak jumpa.
  2. Untuk memberi peluang korang melihat sendiri kehenseman, ketampanan dan kekacakan aku. Maklum la mana ada orang yang berani self-praised kat alam maya ni selain dari aku.. hahaha.

Apa yang korang kena bawa : 

Duit untuk bayar makanan korang sebab aku cuma akan cover 'pull tea' yang korang minum je nanti.

Setakat ni, mereka yang confirm nak join nanti ialah :
  1. matjoe 
  2. student 
  3. khir ariffin 
  4. fauzi ahmad
  5. abdullah pantaier
  6. arepit
  7. sourplum
  8. daniel hakim 
P/S : Kalau ada lagi yang nak join ngeteh, sila e-mailkan niat korang tu kat abangensem98@gmail.com supaya senang aku nak booking nanti.

Sabtu, 25 September 2010

QNA : Soalan saudara Azrin Abdul Rahman

Memandangkan every weekend visitor aku biasanya tak sebanyak hari kerja, maka aku ingat nak khaskan entri hujung minggu aku ni hanya untuk sesi soal jawab dari pembaca aku. Lagipun akhir-akhir ini banyak juga soalan-soalan yang perlu aku jawab. Ada yang mudah untuk diterangkan dan tak kurang juga yang memerlukan aku untuk buat rujukan samada dengan lawyer, banker dan pihak-pihak yang berkaitan dengan soalan diorang.

Untuk minggu ini aku nak memetik soalan yang dikemukakan oleh saudara Azrin yang bertanyakan perihal berikut :

Saudara Azrin ni telah pun membeli rumah yang masih dalam proses pindahmilik nama manakala penjual rumah tersebut masih lagi mendiami rumah tersebut kerana rumah yang mereka (penjual) beli masih dalam pembinaan. Pihak bank beliau (Azrin) telah pun melunaskan pinjaman si penjual dan sedang menunggu urusan pindahmilik selesai. Beliau ingin tahu samaada bolehkah beliau menuntut sewa dari si penjual rumah tersebut sekiranya si penjual masih lagi mendiami rumah tersebut (disebabkan rumah barunya masih belum siap) dan bagaimanakah caranya untuk beliau mengusir si penjual rumah itu sekiranya si penjual berkeras untuk terus tinggal tanpa membayar sewa.

Bagi soalan pertama, aku rasa memang patut beliau mengutip sewa selepas segala urusan pindahmilik itu selesai kerana pada masa itu, beliau adalah pemilik rumah yang sah tetapi bagi soalan keduanya pula, aku tak dapat memberi jawapan yang pasti sebagaimana soalan yang pertama kerana ianya melibatkan skil dan kemahiran 'menghalau'. Mungkin saudara Azrin boleh menggunakan cara salah seorang pembaca aku ni (aku lupa namanya) yang mengatakan 'potong saja bekalan air dan elektrik ke rumah tersebut, habis cerita'. Namun, aku tak berapa sokong sangat kerana implikasi yang bakal saudara hadapi mungkin agak buruk, sebagai contoh mungkin kerana sakit hati dengan tindakan saudara, si penjual akan merosakkan perkakasan dalam rumah tersebut dan saudara terpaksa mengeluarkan duit lebih untuk membaikinya nanti. Walau apa pun, bagi aku jalan yang terbaik adalah dengan berbincang secara baik dengan si penjual. Mungkin bahasa yang lembut mampu melunturkan sifat 'tidak mahu' si penjual. Apa pun, tips percuma dari aku bila saudara akan berbincang dengan si penjual atau sesiapa saja, perbanyakkan membaca surah 'Alam Nashrah', moga-moga perbincangan saudara itu nanti akan berjalan lancar seperti mana yang saudara kehendaki, insyaallah.

P/S : Bagi yang mengikuti pengembaraan Daniel Hakim, nantikan entri seterusnya pada hari Isnin nanti, manakala bagi sesiapa yang ingin memberi pandangan terhadap masalah saudara Azrin ni, dipersilakan meninggalkan komen di ruangan bawah.

Jumaat, 24 September 2010

Daniel Hakim : Kenapa Shah Alam?

Kenapa Shah Alam yang aku pilih? Berikut adalah alasan-alasan aku berdasarkan pandangan dan pengalaman aku selama ini :

Faktor Harga & Kadar Sewa :

Memandangkan kedua-dua rumah tersebut adalah unit low-cost 2 bilik, maka adalah tidak munasabah yang harganya akan terus meningkat pada masa hadapan. Bagi aku walaupun di kawasan strategik seperti Wangsa Maju, RM130K pada aku adalah terlalu tinggi bagi jenis hartanah sebegitu. Kenapa? Di sini teori permintaan dan penawaran akan mengambil tempat terhadap logik harga bagi unit tersebut. Jika anda seorang penyewa (tanpa mengira bujang atau pun keluarga), sanggupkah anda membayar sewa sebegitu mahal hanya untuk satu unit rumah dengan hanya mempunyai 2 bilik untuk didiami. Katakanlah BLR bank meningkat pada masa akan datang dan kadar sewa terpaksa dinaikkan untuk menampung kadar kenaikan BLR, adakah akan ada penyewa yang akan sanggup membayar kadar sewa semahal RM1K hanya untuk  sebuah walk-up low-cost flat 2 bilik di Wangsa Maju?

Faktor Pinjaman Bank :

Cuba korang bayangkan yang korang ni tukang luluskan loan di Bank dan si Daniel ni pergi berjumpa korang untuk memohon pinjaman. Korang rasa pinjaman yang mana lebih mudah untuk korang luluskan? Adakah pinjaman yang kecil atau besar jumlahnya? Malah, ratio calculation yang selalu digunakan oleh pihak Bank sudah pasti akan menyebelahi unit yang lebih rendah instalmentnya. Tak gitu beb?

Faktor Pengalaman :

Orang kita jenis yang mudah terpengaruh dengan kata-kata orang terutamanya ketika  membeli rumah. Tanpa berfikir panjang serta tanpa ilmu dan pengalaman, orang kita akan membeli secara membabi buta walaupun harga yang ditawarkan agak tinggi (berdasarkan pengalaman aku).  Akibatnya sekali mereka 'terkena' atau apabila timbul masalah, mereka terus mati langkah dan mulalah mereka berkata "menyesal aku beli rumah ni sebab risikonya tinggi" dan atas pengalaman sebeginilah, maka aku nasihatkan engineer muda ni untuk bermula dengan unit yang murah dulu. Dapatkan feel dan kutip pengalaman dulu sebagai landlord tanpa perlu mengira keuntungan yang besar. Lagipun ini cuma  langkah pertama ke arah langkah-langkah yang lebih besar. Mungkin untuk pembelian berikutnya, beliau boleh mula memikirkan tentang keuntungan yang lebih besar. Bak kata pepatah melayu lama "kecil-kecil lama-lama jadi bukit".

Apa pun faktor-faktor di atas cuma dari kacamata aku yang sudah 12 tahun terjebak dalam bidang ini. Mungkin korang tak sependapat dengan aku sebab resam manusia, tak semuanya bersetuju dengan cara aku dan mungkin ada yang berkata "kalau macam ni caranya, lambatlah nanti nak jadi kaya" tetapi bagi aku "walaupun lambat, korang PASTI akan  senang satu hari nanti dengan cara aku ini", insyaallah.

Khamis, 23 September 2010

Daniel Hakim : Lokasi Dah Ditentukan..

"Salam, boleh tak kita jumpa lunch nanti?" bunyi sms dari Daniel pagi ni. "Orait bro. Jam 1 kat NZ" balasku dan seperti dijanjikan tepat jam 1, jurutera muda ni dah terpacul di NZ Garden, port biasa aku melepak tapi sayangnya meja yang dipilihnya dikelilingi oleh balak-balak macho je. Hmmm..takde can la aku nak usha awek, hahaha.

"Wazzup bro. Penting je bunyinya?" soal aku. "Bang, saya dah ada alamat kat 2 tempat tu dan saya dah pun check dengan valuer. Harga yang dijual adalah harga pasaran tapi tak kisah bang sebab saya memang dah ada modal untuk beli" jawab budak muda ni and details of the apartments are as follows :

Wangsa Maju (bersebelahan LRT Wangsa Maju) :

Harga : RM130K
Sewa : RM750
Inst. : RM566 (RM117K*4.1%*30 tahun)
Maint. : RM35
C/flow : RM184 sebulan (positive)

Shah Alam (bertentangan kawasan perindustrian Shah Alam) :

Harga : RM60K
Sewa : RM400
Inst. : RM305 (RM54K*4.5%*30 tahun)
Maint. : RM20 (biar tenant yang bayar)
C/flow : RM95 sebulan (positive)

"Kalau abang, abang pilih yang mana?" tanya si Daniel pada aku dan aku menyoalnya semula "Sebelum saya jawab, boleh saya tau agak-agaknya which area yang awak prefer?". "Kalau saya, rasanya saya pilih Shah Alam kot" jawab brader ni. "Then, kalau awak tanya saya , I'll go for Shah Alam but it's not because saya stay kat situ but I've got my own reason kenapa saya pilih that area" dan kalau korang nak tau sebabnya, teruskan mengikuti entri berikutnya.. Sorry beb

P/S : Dah nama pun pengembaraan, korang pun kena la ikut mengembara dari satu entri ke satu entri.. hehe.

Rabu, 22 September 2010

Daniel Hakim : Pengembaraan Bermula

Protege baru aku ni (siapa lagi kalau bukan si Daniel Hakim) nampaknya dah nekad nak mula melabur dalam pasaran hartanah dan telah meminta aku untuk guide dia untuk pembelian rumah pertama dia nanti. Memandangkan dia bersungguh-sungguh untuk mengikut jejak aku, aku dengan rela hati bersetuju untuk mementorkan diri aku bagi memudahkan beliau mengejar cita-citanya. To be fair & square, akan aku rakamkan setiap inci pengembaraan beliau di dalam blog ini untuk korang jadikan panduan sebab aku tak mampu untuk membimbing seorang demi seorang untuk membeli rumah korang. So, jadikanlah kisah pengembaraan engineer muda ini sebagai contoh case study korang, ok?

Sepertimana aku, anak muda ini pun mahu memulakan langkah dengan melabur dalam pasaran hartanah berisiko rendah (low & medium cost). Memandangkan tak banyak lokasi yang menempatkan jenis hartanah sebegini, maka 2 tempat menjadi pilihan beliau iaitu Wangsa Maju dan Shah Alam. Tatkala beliau bertanya kepadaku "antara 2 kawasan tu, yang mana paling bagus untuk saya mulakan?" dan aku hanya mampu menjawab "awak survey dulu market price kat 2 kawasan ni dulu sebelum awak decide. Dapatkan alamat rumah-rumah yang nak dijual, check dengan valuer dan kemudian baru awak bagitau saya" jawab aku dengan wajah penuh yakin ala-Sylvester Stallone ketika bertarung menentang Dolph Lundgren dalam cerita Expendables.

Apa yang berlaku selanjutnya? Kawasan mana yang menjadi pilihan Daniel Hakim? Teruskan mengikuti entri berikutnya..

Tips n Thots : "survey market price & check dengan valuer sebelum decide kawasan yang hendak dipilih"

Selasa, 21 September 2010

Daniel Hakim = Abang Ensem

Petang semalam aku berkesempatan mengeteh dengan salah seorang silent reader blog aku, saudara Daniel Hakim (nickname beliau di alam maya) dan apa yang aku lihat tatkala pertama kali bersua muka ialah cerminan diri aku 12 tahun yang lepas. Seorang budak muda yang baru 2 tahun memasuki alam pekerjaan dan masih tercari-cari jalan untuk jadi kaya. Aku hanya mampu tersenyum bila mengenangkan betapa cepat masa berlalu dan engineer muda di depan aku inilah yang akan meneruskan minat aku dalam bidang hartanah ini. Betapa bersemangatnya beliau sehingga sanggup turun dari Gombak ke Shah Alam dengan hanya bertemankan awek-awek komuter semata-mata untuk meninjau peluang pelaburan di Shah Alam dan aku amat-amat teruja dengan usaha gigih beliau. Kalau 12 tahun dulu aku hanya sorang-sorang mencuba nasib di dalam bidang ini tetapi engineer muda ini bernasib baik mempunyai beberapa orang dibelakangnya sebagai penunjuk jalan di samping kewujudan blog-blog hartanah yang boleh dijadikannya panduan. Betapa beruntungnya anak muda sekarang ni dan bagi anak-anak muda yang lain, bersegeralah menjebakkan diri korang dalam bidang ini kerana peluang anda untuk berjaya amatlah tinggi. Kenapa aku berkata begitu? Ianya kerana 2 perkara berikut :

Liabiliti anak muda tidak sebanyak mereka yang telah berusia.

Bagi korang yang baru kerja, aku rasa tak banyak hutang yang korang ada. Paling tidak pun hanyalah hutang kereta berskala kecil dan juga kad kredit yang limitnya tidaklah banyak mana jika dibandingkan dengan mereka-mereka yang telah bekerja lama. Jadi, peluang untuk mereka yang muda ni mendapatkan pinjaman bank agak tinggi dan cerah.  Aku tahu golongan muda ini akan berkata "kami tak ada modal untuk mulakannya" dan ayat ini jugalah yang aku lontarkan kepada mentor aku dulu. Ketepikan soal modal kerana ada cara untuk korang membeli rumah dengan modal yang seminimum mungkin. Tak percaya? Daniel Hakim, tolong jelaskan apa yang aku katakan semalam di ruangan komen di bawah.. hehe

Peluang mendapatkan positive cashflow adalah tinggi.

Bila umur korang muda belia, korang boleh memaksimumkan tempoh pinjaman dan apabila tempoh dah dipanjangkan, secara tidak langsung instalment bulanan akan menjadi  lebih rendah. Bila ianya rendah, difference (lebihan) yang korang akan dapat dari sewa korang tu akan jadi lebih banyak. Betul tak? Cuma apa yang korang kena pastikan ialah cuba dapatkan rumah yang below market price yang mana caranya telah pun aku ceritakan dalam entri-entri aku yang lepas.

So, korang dah fahamkan kenapa aku suruh mulakan langkah seawal mungkin? Jadi, apa tunggu lagi, penuhkanlah ilmu di dada dan terjunlah ke bidang yang menjanjikan pulangan yang lumayan (macam iklan la pulak..)

p/s : matjoe, pantaier, daniel hakim & korang-korang yang ada kat area KLCC, jom kita ngeteh after office hour next week. Setkan masa dan bagitau aku at e-mail abangensem98@gmail.com

Isnin, 20 September 2010

Contest Lagi..

Contest pertama aku dah pun selesai dan seperti yang dijanjikan satu lagi contest bakal mengambil tempat. Hadiahnya sejumlah wang yang amaunnya cuma sedikit lebih jika dibandingkan dengan contest sebelumnya cuma kali ini aku cuba masukkan elemen 'bonus' yang mungkin tidak terkira nilainya.

Jika dalam contest sebelumnya, aku memberi peluang kepada para pembaca blog aku untuk menghentam dan mengutuk aku dari pelbagai sudut, maka contest kali ini aku ingin korang memuji, mengampu dan membodek aku pulak semaksimum mungkin. Tajuk untuk contest kali ini ialah "NASIB BAIK AKU BELI eBOOK ABANG ENSEM". Contest kali ini  terbuka kepada semua pembaca blog aku terutamanya kepada mereka yang telah membeli ebook aku sebab kalau korang tak beli macamana korang nak ceritakan apa yang ada dalam ebook aku tu. So, korang boleh ceritakan kebaikan yang korang dapat dari ebook aku tu samaada untuk dijadikan panduan atau pun memberi semangat kepada korang untuk melabur di dalam pasaran hartanah. Bagi korang yang mempunyai blog, korang boleh buat satu entri menceritakan kebaikan ebook aku di dalam blog korang dan pastikan yang korang tinggalkan link blog korang di ruangan komen kat bawah. Sementara itu bagi mereka yang tidak mempunyai blog, korang boleh e-mailkan artikel yang berkaitan ke e-mail abangensem98@gmail.com.

Habuannya :

Pemenang 1 - RM100.00 tunai + ebook terbaru aku.*
Pemenang 2 - RM  50.00 tunai + ebook terbaru aku.*
2 pemenang saguhati - RM25.00 tunai + ebook terbaru aku.*

* ebook terbaru aku berkemungkinan akan dipasarkan pada penghujung Oktober/awal November '10.


Bonus bagi pemenang yang mempunyai blog :


Pemenang 1 - Tambahan 10% dari komisyen yang sedia ada dalam program affiliate ebook aku**
Pemenang 2 - Tambahan 5% dari komisyen yang sedia ada dalam program affiliate ebook aku**
2 pemenang saguhati - Tambahan 2% dari komisyen yang sedia ada dalam program affiliate ebook aku**


** Program Affiliate eBook aku berkemungkinan akan diperkenalkan seawal bulan Oktober '10 nanti.


Tarikh tutup : 30/09/10 @ 12 tengahari.


Jadi, apa tunggu lagi. Hantarkan entri korang sebanyak mungkin.


 

Ahad, 19 September 2010

MARIA..

- gambar dicilok dari laman web megaharta.com -


Aku dapat e-mail dari seorang awek yang bernama Maria yang mintak pendapat aku tentang rumah lelong yang dia nak bid. Meditteranean Apartment kat Taman Sri Muda, Shah Alam dengan reserved price sebanyak RM51K. To make it simple, berikut adalah soalan-soalan yang dia tanya kat aku :

  1. Adakah tempat ni bagus untuk investment? 
  2. Senang tak nak dapat penyewa? 
  3. Patut ke dia carik yang dekat dengan rumah dia (Sunway)?

Jawapan kepada soalan 1 :

Kalau ikut aku, Taman Sri Muda ni bolehlah dikategorikan sebagai 'black area' sebab majoriti komunitinya terdiri dari bangsa india. Selain daripada tu, la ni golongan foreigner (expatriate?) pun dah mula memenuhi kawasan ni. Kenapa? Sebabnya tak lain tak bukan kerana kawasan ni dikelilingi oleh kilang-kilang yang memerlukan para pekerja asing ni untuk menjalankan operasi kilang tu. 

Dengan harga sebanyak RM51K (kalau boleh dapat la), memang la ianya satu bentuk pelaburan yang berbaloi. Almaklumlah, dalam paper Star semalam (18/9/10) aku tengok ada yang nak jual apartment tu pada harga RM98K. Maknanya dah hampir separuh below market value dan kalau cik Maria boleh dapat harga tu, maknanya instalment bulanannya akan jadik dalam RM233.00 (Loan - RM45.9K * 30 tahun * 4.5%). Murah tu beb.. 


Jawapan kepada soalan no 2 :

Kalau dah kilang penuh kat keliling, aku rasa memang takde masalah kalau nak carik penyewa. Tambahan pula dengan instalment sebanyak kurang dari RM250.00, lagi lah senang kalau nak carik penyewa sebab cik Maria tak payah nak letak sewa tinggi untuk cover instalment bank dan bila sewa dah jadik rendah, maka berebutlah orang nak menyewanya nanti. Cuma masalahnya sekarang, sanggupkah cik Maria menyewakannya kepada golongan yang saya sebutkan di atas sebab kalau nak carik student sebagai penyewa unit tersebut, alamatnya "ibarat menunggu Lisa Surihani terima pinangan abang ensem la jawabnya" (pepatah melayu moden lagik). Sebaik-baiknya cik Maria tinjau dulu majoriti penghuni apartment tu tergolong dari golongan mana sebelum cik Maria decide.



Jawapan kepada soalan no 3 :

Kalau ikut aku, semolek-moleknya carilah kawasan yang berdekatan dengan rumah cik Maria supaya senang nak monitor (berdasarkan pengalaman aku sendiri). Cuba cik Maria bayangkan sekiranya penyewa cik Maria call mintak cik Maria betulkan paip yang tersumbat, tak ke merana nanti. Almaklumlah kalau rumah sewa tu berdekatan dengan tempat cik Maria tinggal, at least cik Maria tahu le mana nak carik plumber tapi kalau dah jauh dari rumah, takkan cik Maria nak suruh plumber kat Sunway untuk pergi repair. Nanti mahal pulak dia caj. Betul tak?

Nasihat percuma dari AE, better cik Maria pergi survey dulu kawasan tu sebelum decide, supaya cik Maria boleh dapat gambaran sebenar serta masalah yang mungkin ada kat apartment tu. Akhir kata, selamat melabur.

Sabtu, 18 September 2010

Di Persimpangan Dilema..

Serba salah aku jadinya bila mana member baik aku mintak aku tolong war-warkan rumah beliau yang ingin dijualnya. Memang pada mulanya aku cuba nak elak daripada promote rumah-rumah untuk dijual sebab blog aku ni sebenarnya aku khaskan untuk tips & pendapat aku tentang pelaburan hartanah tetapi mengenangkan tak nak dianggap sombong, maka terpaksa jugalah aku sampaikan apa yang dihajati oleh kawan aku ni. Harap-harap inilah promosi terakhir yang aku buat supaya aku tak dianggap seperti 'sambil menyelam minum air', dok makan komisyen dari hasil jualan rumah. So, bagi yang berminat dengan rumah member aku ni, silalah e-mail kat aku at bfe291@gmail.com supaya aku boleh bagi contact number member aku ni dengan harapan korang boleh deal terus dengan mamat ni. Oh lupa pulak, details of the apartment are as follows :

  • Lokasi : Flat 2 bilik kat Seksyen 20, Shah Alam (598 sqft) 
  • Harga : RM68K  
  • Penyewa : Family melayu 
  • Kadar Sewa : RM400.00 
  • Instalment : RM310.00 (anggaran untuk loan sebanyak RM61.2K * 30 tahun * 4.5%)
Akhir kata sorry for publishing this entry.. sob sob sob

Jumaat, 17 September 2010

Breakfast Sempoi Harga Melampau

 - gambar hiasan -


Menyirap je aku pagi ni, mana taknya.. waktu aku gi melantak kat restoran yang biasa aku pergi untuk breakfast, tetiba ada adegan mamat kena kerat leher dan mamat yang aku maksudkan tu tak lain tak bukan AKU le. Hampeh betul. Cuba korang bayangkan nasi lemak berlaukkan timun, kacang dan telur goreng 2 biji beserta dengan secawan teh tarik berharga RM7.50. Dah la tu awek yang kira pulak tu tak de la sesegak Maya Karin.. tu yang hangin satu badan tapi mengenangkan takde restoran lain yang jual nasi lemak pagi ni, aku senyum je  la menghalalkan apa yang dia dah caj kat aku. Mungkin dah rezeki dia.

Sama jugak la macam aku, kekadang tu rezeki datang tak tentu masa dan tanpa kita tahu. Teringat masa aku beli rumah flat yang berharga RM26K tu. Masa aku dapat info tu aku tengah mengeteh dengan member aku, Anot. Sambil dok bersembang, tiba-tiba dia dok bukak citer kat aku.. "hang minat tak nak beli rumah kat area rumah aku? Tengahari tadi ada orang letak kertas ni kat dalam post box aku" dan bila aku membelek je phamplet tu, terus aku tergamam "RM23K je. Ini dah kira baguih ni". Itulah titik mula yang membuatkan aku menjadi antara manusia yang paling bertuah kat dunia ni bila dapat beli rumah semurah itu kat area Shah Alam. Kesimpulannya, korang redha je la dengan apa yang menimpa korang tu  walaupun kekadang tu kita rasa macam tak patut, sebab kita tak tahu mungkin Allah dah sediakan rezeki yang lebih baik untuk kita di masa depan. 

1 @ 2 Nama?

Sesi soal jawab minggu ni dimulakan dengan soalan dari seorang pembaca tegar aku (seorang awek cun) yang pernah menyoal aku beberapa bulan yang lalu. Bentuk soalan yang diajukannya kali ini berbunyi :

"Adik saya yang telah pun berumahtangga nak membeli sebuah rumah yang berharga RM255K. Gaji adik saya ada la dalam RM2.9K sebulan. Adik saya dah approach beberapa buah bank untuk mendapatkan loan. Liabiliti yang ditanggung oleh adiknya setakat ni hanyalah hutang kad kreditnya yang berjumlah kurang dari RM1K. Masalah adik saya sekarang ni ialah semua bank yang diapproachnya tu minta suaminya masuk sebagai co-borrower sedangkan nama suaminya telah disenaraihitamkan oleh pihak bank. Kata adik saya, suaminya telah pun melangsaikan jumlah hutang yang tertunggak tersebut tetapi tetap disenaraihitamkan. Oleh itu adalah mustahil untuk dia masukkan nama suaminya sebagai co-borrower". Soalan-soalan beliau adalah seperti berikut :
  1. Adakah gaji adik saya tak cukup sehingga memaksa pihak bank meminta nama suaminya dimasukkan ke dalam pinjaman? 
  2. Apakah yang perlu diberitahu kepada pihak bank sekiranya adik saya tak mahu memasukkan nama suaminya ke dalam pinjaman? 
  3. Bagaimanakah cara pihak bank mengira kelayakan seseorang itu untuk membuat pinjaman?
    
Ok, sebelum aku menjawab soalan awek ni korang kena pastikan yang korang dah pun klik iklan nuffnang kat atas tu (tak silap aku iklan Celcom) supaya aku akan lebih bersemangat lagi nak menjawab soalan korang di masa akan datang.. hehehe.

Berbalik kepada soalan awek cun ni, sebetulnya bagi sesiapa (pasangan suami isteri) yang baru pertama kali beli rumah, biasanya bank akan melihat pembelian tersebut untuk kediaman sendiri, apatah lagi sekiranya rumah tersebut landed property dan berharga agak mahal. Untuk itu, pihak bank akan cuba mengurangkan risiko mereka dengan menyuruh kita memasukkan nama suami/isteri ke dalam pinjaman. Dalam kes di atas, sememangnya pihak bank akan melakukan perkara tersebut (masukkan nama suami) kerana jika dilihat pada income adiknya, gaji sebanyak RM2.9K tidak akan melayakkan adiknya menggunakan namanya seorang tanpa co-borrower kerana instalment bulanan rumah tersebut berada di dalam anggaran RM1.4K ke atas (berdasarkan 90% loan untuk tempoh 30 tahun pinjaman) walaupun adiknya tidak mempunyai liabiliti lain. Bagaimana bank mengira kelayakan peminjam? Semuanya bergantung kepada ratio yang telah ditetapkan oleh setiap bank dan bukan semua bank mempunyai kiraan yang sama. So, terjawab sudah soalan 1 & 3 di atas.

Dalam kes adiknya tu, eloklah beliau (adiknya) berterus terang dengan pihak bank dengan mengatakan yang suaminya telah disenarai hitamkan atas tunggakan hutang yang sedia ada. Walaubagaimanapun sekiranya benar yang suaminya telah melangsaikan hutang tersebut, diharap suami beliau dapat pergi 'gegar' pihak yang menyenaraihitamkan beliau dengan memaksa pihak tersebut mengeluarkan 'discharge letter'. Ini akan menjadi bukti kukuh yang hutang tersebut telah dilangsaikan walaupun di dalam CTOS, nama suaminya masih diblacklisted. Harap-harap jawapan aku ni dapat membantu adik awek cun ni untuk menyetelkan problem yang dihadapinya. 

Khamis, 16 September 2010

Kalaulah Aku Dok Kat Penang

Pagi semalam sempat gak aku gi beraya ke rumah tukang buat ebook aku, saudara Meor Ahmad Shukri kat Jawi, Penang. Banyak gak yang kami bualkan terutamanya tentang 'affiliate program' yang kitorang tengah dok buat untuk bagi peluang kepada korang (pembaca blog aku ni) menjana  income hasil dari jualan ebook aku yang 2 buah tu. Selain dari cerita bab 'affiliate program' tu, sempat gak si Meor ni bagitau tentang pembinaan jambatan kedua (masih dalam pembinaan) yang tak jauh dari rumahnya yang akan menghubungkan Batu Kawan (kat sebelah sini) dengan Batu Uban (di sebelah Pulau). Wah, ini dah dikira peluang baik untuk buat duit. Mana taknya, aku rasa rumah-rumah kat area Jawi tu takde la mahal sangat jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain kat seberang sini dan kalau jambatan tu siap nanti tak ke nilainya akan naik nanti. Kalau sekarang ni bagi mereka yang bekerja kat Pulau macam member aku ni, masa dan kos yang dia terpaksa peruntukkan amatlah tinggi. Jadi kalau  dah siap jambatan tu nanti, tak ke senang dia nanti. Masa sejam yang dia gunakan selama ni untuk travel ke office dah tentu dapat dipendekkan dan duit minyak/maintenance keretanya pun dah tentu dapat dijimatkan. Bila dah jadik camni, dah tentu-tentu orang lain yang keje kat Pulau akan guna laluan ini dan bagi yang dok mencarik rumah, dah tentulah area yang dekat dengan jambatan ni akan jadik pilihan. Maknanya harga rumah yang sekarang ni agak berpatutan dah tentu-tentu akan jadik mahal jika permintaan meningkat. Bagi yang nak buat instant money, beli dulu lepas siap terus je let-go. Betul tak? Apa-apa pun ini cuma pandangan aku in general. Banyak lagi benda-benda lain yang korang kena tengok dan fikirkan sebelum korang beli rumah kat area tu seperti status pembinaan jambatan tu dan harga tol yang bakal dikenakan. So, pandai-pandailah korang menilai sebelum membeli.

Rabu, 15 September 2010

& D Winner Goes To..

Akhirnya contest mengutuk abang ensem yang aku anjurkan awal bulan ni telah pun ditutup secara rasminya jam 12.00 tengah malam tadi dan memandangkan aku masih lagi dalam mood raya, maka kesemua yang menyertai contest tu akan aku berikan duit raya. Sebelum tu, aku nak umumkan pemenang duit raya terbanyak jatuh kepada saudara mfirdaushassan yang telah mengutuk aku kaw-kaw tanpa belas kasihan. Anyway, aku really appreciate apa yang dikomenkannya tu walaupun pedih gak untuk aku terima.. hahaha. Buat yang telah menyertai contest aku ni, diharap dapatlah korang e-mailkan nombor akaun korang kat aku @ bfe291@gmail.com supaya dapat aku bank-inkan duit raya yang aku janjikan tu. Kalau boleh, korang bagilah nombor akaun Maybank atau CIMB, senang sikit aku nak buat online transfer. Buat yang menang, tahniah aku ucapkan dan korang teruskanlah membaca blog aku ni.

Selasa, 14 September 2010

Kalaulah Aku Yang Beli Flat Tu..

Korang dah baca ke citer kat suratkhabar pagi ni yang bagitau sebuah flat kat Monte Carlo telah dibeli oleh Pak Syeikh dari Arab pada harga 240 juta euro (RM953.40 juta). Kalau belum, mungkin korang boleh klik link ni untuk baca.

Aku rasa ramai yang akan kata membazir duit je beli flat sampai mahal camtu tapi mungkin jugak Pak Syeikh ni dah tak tau nak buat apa dengan duit dia, pasal tu la dia  sanggup beli pada harga yang sebegitu mahal. Nak bersedekah mungkin dah banyak yang dia sedekahkan sampaikan dah takde fakir miskin kat tempat dia untuk dia infaqkan hartanya. 

Korang jangan terkejut pulak dengan apa yang aku cakapkan kat atas tu sebab aku pernah tengok kengkawan aku yang 'kaya gila' yang duit diorang ni tak pernah luak-luak (habis). Mula-mula dulu pun aku musykil gak tapi lepas aku berguru dengan diorang  ni baru le aku tau sebenarnya duit yang diorang beli kete Porsche, Merck atau pun Beemer diorang tu sebenarnya bukan duit diorang pun sebaliknya dari duit dividen dan profit sharing yang diorang dah invest. Bukannya macam kita, duit gaji dan komisyen yang kita dapat tiap bulanlah yang kita dok gunakan untuk membeli barang-barang 'mewah' ni. Itu pun tak cukup mewah sebenarnya kalau dibandingkan dengan mereka-mereka yang jauh lebih kaya. Apa yang aku nak tekankan kat sini, korang invest la dulu duit simpanan korang tu supaya dividen atau profitnya boleh korang gunakan untuk beli barang-barang mewah yang lain.

Kat sini aku nak ceritakan satu kisah tentang kawan aku sewaktu dia dapat duit  hasil jualan tanahnya kat Prang Besar (sekarang dikenali sebagai Putrajaya). Banyak tu takde la tapi berjuta jugak jumlahnya. Mamat ni yang dulunya hanyalah seorang despatch pejabat lawyer terkejut beruk bila mana duit profit sharing yang dia dapat dari simpanan FDnya sebulan (tempat simpanan hasil jualan tanahnya) hampir sama dengan gajinya selama setahun. Alhamdulillah dia masih beringat dan meneruskan kehidupan sederhananya walaupun tidak lagi bekerja sebagai mat despatch. Kalau korang nak tau, dengan duit profit FD itulah digunakan untuk membayar instalment sebuah kereta yang lebih besar bagi menggantikan kereta Satrianya dan juga sebuah rumah 2-storey bagi menggantikan flat yang didiaminya. Sedangkan duit pokoknya (principal) masih lagi tak terusik kat dalam FD tu. Mungkin korang akan kata "kalau dapat kat aku, sure aku akan laburkan kat tempat yang boleh buat lebih banyak duit" tapi dah jenisnya orang yang sederhana, korang tau tak apa yang dia cakap kat aku? "Meor, duit banyak mana pun takkan cukup" dan sampai sekarang aku pegang kata-kata dia tu sebagai peringatan buat diriku.  

Isnin, 13 September 2010

Susah Jugak Jadik Banker Ni..

Terkejut aku bila baca entri tuanbri bertarikh 6 September 2010 bertitlekan 'banker aku kena culik'. Dia ada bagitau yang banker yang dibunuh dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya tu sebenarnya banker yang selalu berurusan dengan dia. Kalau korang nak tau lebih lanjut tentang hubungan tuanbri dengan arwahnya, korang boleh klik kat nama tuanbri ni.

So, susah jugak ye jadik banker ni especially yang terlibat secara langsung dengan mende-mende sales ni. Ada gak kengkawan aku yang buat sales yang kena tipu masa diorang dok jumpa customer. Ada yang kena kencing dan tak kurang jugak yang duit diorang kena kapor dengan customer. Apa pun itulah asam garam bukan setakat banker yang buat sales tetapi buat mereka yang terlibat secara langsung dengan menda-menda sales ni. Namun bagi aku, kes Noorhisham ini adalah kes yang paling teruk aku pernah dengar. Dahlah dibunuh tanpa sebab. Mayatnya pulak tak berkubur. Kejam.. kejam.

Anyhow, mari kita sedeqahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Noorhisham Mohamad. Moga roh beliau ditempatkan dari kalangan mereka yang bertaqwa. Al-Fatihah. 

Ahad, 12 September 2010

Entri Raya ke 3

Kesian aku nengok 60 orang in average yang setiap hari (selama 2 hari ni) dok bukak blog aku tapi apa yang diorang tengok tak lain tak bukan entri-entri lama  je dan disebabkan rasa tanggungjawab aku terhadap mereka ni, aku gagahkan jugak mengorek duit kat mesin ATM semata-mata nak gi beli 'berukben Celcom' demi memudahkan aku mengupdate blog. Almaklumlah kalau kat rumah aku kat Shah Alam, aku ada streamyx tapi kalau kat kampung ni (Teluk Intan & Kepala Batas), mintak mahap la aku nak bawak streamyx aku sebabnya kalau aku cabut je benda tu (modem streamyx), for sure aku tak tau camne nak connect balik. Maklum le aku lahir bukannya di zaman IT sebaliknya di zaman 'typewriter letrik' untuk menaip assignment, tu yang buta IT jadiknya .

Anyway, entri kali ni aku nak ceritakan apa yang berlaku petang tadi semasa aku dalam perjalanan nak balik ke kampung mem aku kat Kepala Batas. Jalan yang aku pilih tak lain tak bukan jalan Pantai Remis-Tepen (dikenali sebagai Taiping bagi orang luar Perak). Semasa aku menelusuri jalan Lekir menuju ke Sitiawan, to be specific kat Simpang Kampung Koh ada pulak signboard baru yang bagitau kalau nak ke Tepen kena jalan terus. Makanya bila je aku cilok ke kiri (ke Jalan Kampung Koh) which is against the signboard maka mem aku pun start le mengomel. "Apasal u (panggilan manja untuk pasangan yang dah 11 tahun kawen) tak terus je ikut signboard tu? Karang silap jalan karang, kan ke dah kena pusing balik". "Ek eleh dah berbelas tahun I ikut jalan ni, takkan sesat punya. Lagipun jalan ni jalan pintas nak ke utara, tak payah nak redah pekan Sitiawan tu" jawab aku dengan key F# (F sharp). 

Selang 10 minit dari kata-kata terakhir aku tu, kitorang pun sampai le ke simpang empat nak ke Pantai Remis dan serentak itu, mem aku mengomel lagi "Apasal la diorang tak buat signboard suruh ikut jalan pintas ni. Kan ke lagi cepat dan mudah. Tak payah nak bersesak-sesak lalu pekan Sitiawan (aikk pinjam ayat aku nampak.. hehe)" dan ibarat bola tanggung yang dihantar oleh Vera Zvonareva, maka aku pun menyemash bola tanggung itu ibarat Kim Clijster dalam final US Open yang aku tengok pagi tadi. Korang nak tau apa yang aku cakap?? "Inilah bezanya orang yang akal pendek macam u dengan orang yang akal panjang macam I. Orang macam u cuma tau figures je (maklum le accountant by profession) sedangkan marketer macam aku selalu memikirkan cara mana nak tarik orang untuk membeli/menggunakan satu-satu produk" dan ini menyebabkan mem aku terpinga-pinga bertanya "kenapa pulak?". Aku rasa bukan mem aku je yang bertanya sedemikian, korang pun mesti nak tau apa logiknya signboard tu dibuat sebegitu tapi teori aku ni pun belum tentu betul sebenarnya. Hanya sekadar nak taruk mem aku je.. hehehe.

Cuba korang fikir, bila Majlis Daerah/Perbandaran tu buat signboard untuk suruh kereta lalu ikut pekan Sitiawan maknanya diorang cuba untuk menaikkan ekonomi penduduk kat situ. Sebabnya, dalam banyak-banyak kereta yang lalu tu, for sure ada yang nak ke kedai runcit  untuk beli barang, tak pun nak ke restoran terdekat untuk makan dan paling tidak pun ke petrol station untuk isi minyak dan buang air dan ini secara tidak langsung akan menyebabkan 'visitors' ni berbelanja tanpa diorang sedari. Bila peniaga dapat income, makanya pihak Majlis pun akan dapat habuan jugak sebab pihak peniaga ni pasti akan bayar cukai kat diorang bila dapat income. Selain daripada tu, 'visitors' ni kena jugak beli tiket parking sebelum diorang letak kereta diorang tu. Betul tak? Anyhow, tak semua orang perasan pasal benda ni sama macam mem aku tu. So, untuk itu aku maafkan le dia, kalau tak mau tido luar aku malam ni.. hehe.   

Jumaat, 10 September 2010

RAYA DULU, SEKARANG & AKAN DATANG..

Saat ini aku terkenangkan saat-saat yang aku lalui semasa zaman kanak-kanak ketika tibanya kedatangan Syawal. Saat itu, perkara pertama yang aku fikirkan selain duit raya ialah saat berkumpul dengan sepupu-sepupu aku di Temoh, Perak (kampung sebelah bapaku). Ya, keseronokan bermain 'guli tanah', polis sentri dan bermain bola dengan 'uniform raya' seakan terbayang-bayang di mata aku malam ini (malam raya).

Tapi itu cerita berpuluh-puluh tahun dahulu, kini rumah yang satu masa dahulu riuh-rendah dengan hiruk pikuk kanak-kanak yang tak mendengar kata, kini hanya tinggal bunyi cengkerik dan sekumpulan katak sahaja yang meriuhkan suasana. Rumah kampung yang menjadi kebanggaan keluarga aku, kini hanya tinggal 'tiang serinya' sahaja dengan dikelilingi rumpun belukar disekitarnya. Kehadiran aku 2 minggu yang lalu  hanyalah sekadar mengimbau kembali segala nostalgia lalu tetapi hanya airmata yang mampu aku titiskan tatkala melihat pemandangan yang suatu masa dulu mendatangkan keceriaan buatku terutamanya ketika Syawal menghadirkan diri. Apa yang dapat aku saksikan kini hanyalah semak samun dan 'rumah-rumah tinggal' yang aku pasti penghuninya telah pun dijemput 'menetap' di 'kediaman abadi' di hujung kampung. Ya, segala-galanya telah berubah kini.

Apa pula yang akan berlaku di kemudian hari bila mana keluargaku pula dijemput 'pergi'? Sudah pasti banglo setingkat beralamatkan Pekan Baru, Teluk Intan semakin jarang aku kunjungi sementelah kesemua adik-adikku  telah pun bermastautin di Kota Metropolitan, Kuala Lumpur. Tiada lagi kesesakan lalulintas yang terpaksa ditempuh oleh anak-anakku untuk pulang beraya kerana ibu bapanya (aku & mem aku) sekadar menetap di Shah Alam. Yang pasti, suasana kampung pada masa akan datang tidak akan sama seperti dahulu atau pun kini kerana suasana kampung telah pun diganti dengan simen konkrit. Oleh itu, hadapilah suasana raya saat ini secara total kerana ianya mungkin akan menjadi nostalgia di masa depan.

P/S : Buat pembaca blog aku, aku mohon jutaan kemaafan sekiranya ada susun kata aku yang mengguris hati kalian yang kadangkala tidak aku sengajakan. Buat yang pulang beraya, berhati-hatilah di jalanraya, moga-moga kalian tidak akan menjadi penyumbang statistik kemalangan di jalanraya. Akhir kata, semoga kalian bergembira di hari kemenangan umat Islam ini.

Khamis, 9 September 2010

Kesian Member Aku

"Tension betui la" keluh member aku semalam dan bila aku tanya kenapa, jawabnya "loan kete aku tak lulus-lulus lagi since last week. Seller kata kalau dah lulus, aku dah boleh terus amik kereta. Bolehlah aku melaram time raya ni dengan kete baru". "Bila ko apply bro?" soal aku. "Rabu lepas" balas member aku dan aku hanya mampu tersenyum kambing je la sebab aku tau mesti loan dia tu akan lulus lepas raya nanti (kalau lulus la).

Untuk pengetahuan korang dan hasil pengalaman aku sendiri, tak kira la apa jenis loan pun (baik rumah, kereta atau personal loan) jangan la korang gatal-gatal nak apply seminggu sebelum raya sebab masa tu mood kebanyakan budak-budak bank ni dah ingat nak cuti je. Kena pulak time tu banyak pulak application, lagila diorang rasa malas je. So, bilakah masa paling sesuai untuk apply loan? Seelok-eloknya 10 hari terakhir setiap bulan terutamanya bulan Mac, Jun, September dan Disember. Kenapa pulak? Jawapannya.. cuba korang tanya kat orang bank.

Rabu, 8 September 2010

Pandangan Dari Student Yang Pernah Dapat 'C+' Untuk Subjek Ekonomi

Headline paper the Star semalam yang bertajuk 'NO TO 80% PLAN' benar-benar mengecewakan aku. Intipati berita yang menceritakan desakan dari pertubuhan-pertubuhan NGO dan individu-individu tertentu yang menentang cadangan Bank Negara menurunkan kadar LVR bank-bank telah memadamkan harapan aku untuk melihat harga hartanah di Malaysia turun dan stabil. Seterusnya aku rasa semacam tak berminat nak postkan entri tentang komen yang dah pun aku siapkan sebelum ini.

Kekadang tu aku hairan kenapa la 'mereka' ni menentang sangat langkah yang masih lagi dalam kajian sedangkan bagi aku dalam jangkamasa panjang nanti, langkah sebeginilah yang akan menguntungkan pihak pembeli iaitu kita. Pasti korang tertanya-tanya kenapa aku berkata demikian?

Cuba korang bayangkan kalau korang jadik pemaju apa korang akan buat kalau rumah yang korang bina tak boleh dijual? Kat sini teori 'supply and demand' yang aku belajar dalam subjek ekonomi dulu pasti akan memainkan peranan bagi melariskan rumah-rumah tersebut. Samaada harga rumah tersebut perlu diturunkan ataupun pelbagai benefit lain perlu ditawarkan adalah strategi-strategi yang patut difikirkan oleh pihak pemaju (terutamanya marketing department diorang), sekiranya mereka ingin melihat projek mereka ini laris setelah langkah-langkah Bank Negara ini direalisasikan. Tak ke ini nanti akan menguntungkan pembeli.

Pihak-pihak yang menentang semalam ada mengatakan yang langkah ini akan membantutkan hasrat kerajaan untuk membangunkan dasar perumahan negara kerana kata mereka dengan adanya cadangan sebegini, rumah-rumah di Malaysia akan jadi sukar untuk dijual dan seterusnya akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Bagi aku ianya hanyalah satu alasan yang dangkal kerana bukan semua rumah sebenarnya yang akan terlibat sebaliknya cuma rumah yang berharga RM500K ke atas je yang akan terlibat secara langsung dan seperti yang korang sedia maklum pembeli bagi rumah-rumah sebegini adalah dari kumpulan minoriti rakyat Malaysia yang boleh disifatkan sebagai mereka yang ber'wang' dan bukannya dari kalangan orang-orang 'kebanyakan' seperti kita, betul tak? So, apa ada hal kalau cadangan Bank Negara ini diteruskan. 

Anyhow, aku bukannya seorang yang layak untuk mencadangkan itu dan ini, maklumlah aku cuma seorang pegawai bank yang berpangkat rendah. Mungkin mereka yang berpangkat besar lebih layak untuk memikirkan semua ni demi kesenangan rakyat. Itu pun kalau diorang ni takde agenda tersembunyi la. Buat korang yang membaca entri ini, mungkin juga korang kurang bersetuju dengan aku dan mungkin juga apa yang aku cakapkan ni salah tapi sekurang-kurangnya aku cuma ingin melahirkan kebimbangan aku sahaja supaya takkan terjadi kemelesetan ekonomi seperti negara-negara lain yang telah mengalaminya. Wallahualam.