Jumaat, 10 September 2010

RAYA DULU, SEKARANG & AKAN DATANG..

Saat ini aku terkenangkan saat-saat yang aku lalui semasa zaman kanak-kanak ketika tibanya kedatangan Syawal. Saat itu, perkara pertama yang aku fikirkan selain duit raya ialah saat berkumpul dengan sepupu-sepupu aku di Temoh, Perak (kampung sebelah bapaku). Ya, keseronokan bermain 'guli tanah', polis sentri dan bermain bola dengan 'uniform raya' seakan terbayang-bayang di mata aku malam ini (malam raya).

Tapi itu cerita berpuluh-puluh tahun dahulu, kini rumah yang satu masa dahulu riuh-rendah dengan hiruk pikuk kanak-kanak yang tak mendengar kata, kini hanya tinggal bunyi cengkerik dan sekumpulan katak sahaja yang meriuhkan suasana. Rumah kampung yang menjadi kebanggaan keluarga aku, kini hanya tinggal 'tiang serinya' sahaja dengan dikelilingi rumpun belukar disekitarnya. Kehadiran aku 2 minggu yang lalu  hanyalah sekadar mengimbau kembali segala nostalgia lalu tetapi hanya airmata yang mampu aku titiskan tatkala melihat pemandangan yang suatu masa dulu mendatangkan keceriaan buatku terutamanya ketika Syawal menghadirkan diri. Apa yang dapat aku saksikan kini hanyalah semak samun dan 'rumah-rumah tinggal' yang aku pasti penghuninya telah pun dijemput 'menetap' di 'kediaman abadi' di hujung kampung. Ya, segala-galanya telah berubah kini.

Apa pula yang akan berlaku di kemudian hari bila mana keluargaku pula dijemput 'pergi'? Sudah pasti banglo setingkat beralamatkan Pekan Baru, Teluk Intan semakin jarang aku kunjungi sementelah kesemua adik-adikku  telah pun bermastautin di Kota Metropolitan, Kuala Lumpur. Tiada lagi kesesakan lalulintas yang terpaksa ditempuh oleh anak-anakku untuk pulang beraya kerana ibu bapanya (aku & mem aku) sekadar menetap di Shah Alam. Yang pasti, suasana kampung pada masa akan datang tidak akan sama seperti dahulu atau pun kini kerana suasana kampung telah pun diganti dengan simen konkrit. Oleh itu, hadapilah suasana raya saat ini secara total kerana ianya mungkin akan menjadi nostalgia di masa depan.

P/S : Buat pembaca blog aku, aku mohon jutaan kemaafan sekiranya ada susun kata aku yang mengguris hati kalian yang kadangkala tidak aku sengajakan. Buat yang pulang beraya, berhati-hatilah di jalanraya, moga-moga kalian tidak akan menjadi penyumbang statistik kemalangan di jalanraya. Akhir kata, semoga kalian bergembira di hari kemenangan umat Islam ini.

3 ulasan:

  1. kenapa Rumah Kampung tu sampai tinggal "tiang seri" jer....? Tak de ker sapa2 yg take over rumah tu lepas tuan tanah yg asal meninggal dunia...? Tak di buat bicara kuasa ker....? alamak banyak plak persoalan yg bermain dikotak pikiran aku nie......
    :-aLCapone-

    BalasPadam
  2. feeling raya dah hilang dah...mungkin Allah dah tarik nikmat hari raya sebab hamba2nya tak bersyukur?

    BalasPadam
  3. Raya sekarang dah macam cuti umum yang lain jer...cuma bulan ramadhan sekarang nie lebih seronok dari tahun2 yang lalu.....sebab rata2 masjid dan surau penuh dengan orang buat amal ibadat....bagi aku itu lebih bermakna dari Hari Raya itu sendiri.....selalu tanamkan dalam hati...semakin hari semakin kita dekat dengan kematian....

    BalasPadam